Ketahui Kepelbagaian Fungsi Mukus di Dalam Hidung Anda

Mukus Boleh Memberikan Kebaikan?

Mukus atau lendir dalam sinus yang terlalu banyak sering menyusahkan kita. Mana tidaknya, kalau dah hidung tersumbat sepanjang hari, suara pula menjadi sengau, mood di tempat kerja pun boleh hilang.

Untuk makluman anda, mukus adalah hasil campuran air, gula, protein dan enzim-enzim yang mempunyai pelbagai fungsi dan peranan yang tertentu. Manakala, manusia menghasilkan 1.5 liter mukus setiap hari dengan majoriti daripadanya terus ditelan tanpa kita sedari

Namun begitu, adakah kita tahu apakah peranan mukus di dalam rongga hidung? Selain menimbulkan segala macam masalah pada anda, mukus sebenarnya turut memberi sumbangan positif kepada kesihatan hidung kita.

1) Memerangkap dan Menapis Zarah Dalam Udara

Mukus boleh diibaratkan sebagai sistem penapis semulajadi tubuh anda. Ia berfungsi memerangkap zarah-zarah yang memasuki hidung dan dialirkan sepanjang rongga sinus sebelum silia (rerambut bersaiz mikro) akan menolak zarah-zarah tersebut ke rongga trakea lalu ditelan. Fungsi ini juga memastikan zarah-zarah tersebut tidak memasuki paru-paru anda.

2) Mengekalkan Kelembapan Rongga Sinus

Mukus memastikan dinding sinus dan udara yang mengalir dalam sinus sentiasa lembap. Ini dapat mengelakkan sinus menjadi kering akibat udara yang disedut masuk serta memastikan silia kekal lembap.

3) Antibodi Semulajadi

Mukus mengandungi enzim-enzim dan protein yang mampu menghapuskan zarah-zarah dalam udara yang disedut masuk.Enzim-enzim ini juga bertindak menghancurkan zarah-zarah yang ditelan di dalam perut anda.

Selain daripada beberapa fungsi diatas, anda juga perlu tahu beberapa fakta penting mengenai mukus. Fakta-fakta ini termasuklah:

  • Hidung tersumbat bukanlah disebabkan hidung anda dipenuhi mukus namun disebabkan dinding sinus yang membengkak.

  • Hingus disebabkan oleh dua faktor utama iaitu alahan dan suhu sejuk.

1. Alahan mencetuskan tindak balas keradangan di dalam rongga sinus dan aliran udara.

2. Cuaca sejuk melambatkan fungsi silia menolak mukus menyebabkan mukus keluar melalui rongga hidung.

  • Mukus tebal menandakan anda mengalami dehidrasi.

  • Boogers (tahi hidung) adalah mukus yang kering.

  • Warna mukus mempunyai maksud tertentu.

1. Warna jernih adalah warna mukus normal.

2. Warna kelabu, putih atau kekuningan mungkin depengaruhi oleh zarah-zarah seperti habuk, debunga atau zarah-zarah lain di sekeliling namun juga boleh menandakan berlaku jangkitan.

3. Warna gelap seperti merah, merah jambu atau coklat mungkin menandakan pendarahan dalam rongga sinus.

 

Secara keseluruhan, mukus adalah penting dalam melindungi rongga sinus anda. Ia adalah satu mekanisma pertahanan yang memastikan anda dapat bernafas dengan selesa.

Setakat ini sahaja perkongsian saya di ruangan kali ini. Semoga sedikit-sebanyak dapat memberi manfaat untuk anda semua.

Sekian, terima kasih.

Helmi M.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *