7 Cara Berkesan untuk Mengekalkan Kesihatan Sinus Anda

Mengekalkan kesihatan rongga sinus akan dapat membantu mencegah masalah sinus dan jangkitan. Rongga sinus yang tidak sihat atau jangkitan dapat dikesan apabila anda tiba-tiba bersin, hidung tersumbat dan tekanan pada sinus.

Sinus amat penting kerana fungsinya yang melembapkan, menghangatkan dan menapis udara ketika bernafas.

“Hidung dan rongga-rongga sinus adalah barisan pertahanan pertama untuk sistem pernafasan anda.”
– Joseph E. Kelleher (Pakar Allergy Dan Immunology, Massachusetts, Us)

Dr. Kelleher iaitu pakar berkaitan alahan dan imunisasi badan menitikberatkan kepentingan rongga-rongga sinus. Beliau turut menambah segala kaedah yang mampu mengekalkan kesihatan sistem pernafasan akan dapat mencegah masalah sinus. Jadi, berikut adalah cara berkesan bagi mengekalkan kesihatan sinus menurut beliau:

Menjaga Kebersihan Diri

Kadang kala, mencegah masalah sinus hanya memerlukan logik akal seperti menutup mulut ketika bersin atau batuk.

Ini kerana virus dan bakteria adalah faktor biasa kepada penyakit resdung. Bakteria dalam udara daripada bersin atau batuk daripada mereka yang menghidapi masalah pernafasan boleh memasuki rongga sinus.

Begitu juga situasi apabila anda menyentuh bahagian muka menggunakan tangan anda. Oleh itu, amat penting untuk mengelakkan bersentuhan dengan orang yang menghidapi masalah ini dan sentiasa mencuci tangan anda menggunakan sabun untuk mengelakkan jangkitan.

Awas Akan Perubahan Tekanan Udara

Rongga sinus turut mengandungi udara. Oleh itu, perubahan tekanan udara secara tiba-tiba menyebabkan udara terperangkap lalu boleh mengakibatkan tekanan pada sinus, rasa sakit dan kesesakan sinus.

Senario ini biasa terjadi semasa penerbangan, jadi disarankan mengelakkan sebarang pengangkutan udara ketika anda mengalami alahan atau selsema.

Sekiranya tidak dapat dielakkan, rujukan doktor amat penting sama ada anda memerlukan semburan hidung terlebih dahulu atau tidak.

Selain penerbangan, aktiviti menyelam merupakan penyebab perubahan tekanan sinus secara tiba-tiba. Kandungan air yang tercemar atau mengandungi klorin juga boleh menyebabkan masalah sinus.

 

Hindari Pencemaran Udara

Pencemaran udara bukan sahaja di luar rumah malahan di dalam rumah juga akan menyebabkan masalah sinus.

Contohnya asap rokok. Asap rokok akan mengurangkan keberkesanan sistem pengangkutan mukus di dalam rongga hidung dan rongga-rongga sinus yang lain yang menyebabkan keradangan dan kesesakan.

Asap rokok juga mengandungi bahan kimia yang memudaratkan alahan anda. Oleh itu, anda perlu menghindari situasi sebegini untuk menjaga kesihatan sinus anda.

Mengawal Alahan

Pembawa alahan seperti debu, bulu haiwan peliharaan, kulat dan debunga mampu menyebabkan masalah sinus.

Anda boleh mengatasi masalah sebegini dengan menggunakan penyaman udara di dalam rumah dan kereta anda semasa musim panas manakala memastikan tingkap sentiasa ditutup semasa musim bunga.

Pastikan juga haiwan peliharaan tidak memasuki bilik tidur anda serta cover tilam dan bantal menggunakan plastik untuk mengelakkan terdedah kepada bulu haiwan dan hama.

Anda juga boleh memakai penutup mulut dan hidung sekiranya bekerja dikawasan yang lembap untuk mengelakkan kulat.

Membersihkan Sinus

Kajian menunjukkan menghembus hidung anda dengan air garam suam boleh mengurangkan jangkitan sinus bagi penghidap masalah sinus kronik.

Menurut Kelleher juga, membersihkan rongga sinus menggunakan larutan garam steril berkesan mengekalkan kesihatan ruang sinus. Semburan berasaskan larutan garam steril dan kit membersihkan sinus boleh didapati di farmasi.

Kekalkan Kelembapan Sinus

Apabila sinus terlalu kering, sistem pengangkutan mukus yang memerangkap dan menggerakkan bakteria berhenti berfungsi.

Oleh itu, anda disarankan untuk memasang alat pengatur kelembapan udara atau humidifier di dalam rumah anda terutamanya dalam bilik tidur dan kekalkan kelembapan di antara 30 dan 50 peratus.

Anda juga boleh memeriksa tahap kelembapan rumah menggunakan hygrometer. Pastikan humidifier sentiasa dibersihkan atau ia akan menjadi sumber masalah sinus kepada anda. Mandi menggunakan air panas juga boleh melembapkan sinus anda.

Minum air secukupnya

Apakah yang harus anda minum yang boleh meningkatkan tahap kesihatan sinus dan berapa banyak?

Untuk sesetengah orang, produk tenusu boleh menyebabkan mukus menjadi tebal yang boleh mengakibatkan tekanan sinus dan kesesakan. Kesan yang sama juga akan berlaku jika meminum minumam beralkohol.

Adalah penting untuk anda mengelakkan minuman sebegini ketika mengalami masalah sinus. Manakala, anda disarankan agar mengambil sekurang-kurangnya enam gelas air setiap hari untuk membantu kelancaran mukus dalam sinus.

Sebagai rumusan, 7 langkah ini telah terbukti efektif menjana kesihatan sinus dan diperakui oleh pakar sendiri. Justeru, anda disarankan mempraktikkannya terutamanya bagi golongan yang menghidapi resdung.
Walaupun antaranya terdapat keperluan untuk anda mengeluarkan kos tertentu, ia sepatutnya tidak menjadi alasan untuk anda sekiranya anda menitikberatkan kesihatan sinus.

Helmi M.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *