9 Tips Jimat Wang Merawat Resdung

 

 

Masalah resdung boleh dikatakan penderitaan harian yang terpaksa dihadapi oleh mereka yang menghidapnya dan akan memberi kesan kepada kualiti hidup.

Rasa sakit yang tak tertahan, hingus di tahap maksima dan rasa rimas untuk bernafas mengganggu keupayaan seharian anda untuk berfikir, membuat kerja malahan menjejaskan deria bau anda.

Fakta bahawa masalah resdung boleh berulang-ulang memburukkan lagi keadaan.

Mendapatkan rawatan khusus daripada pakar adalah jalan terbaik namun tidak semua orang berkemampuan melakukannya.

Jadi, apakah alternatif lain untuk merawat masalah resdung disamping menjimatkan wang? Ini adalah tips menjimatkan wang untuk merawat resdung.

 

  • Guna Humidifier

Udara yang kering adalah penyebab hingus tebal anda kerana rongga hidung anda akan tersumbat lalu mukus gagal dikeluarkan dengan sempurna. Humidifier memastikan ruang bilik anda sentiasa dikelilingi udara lembap bersesuaian melegakan rongga anda yang kering. Pastikan kebersihan humidifier sentiasa terjaga untuk mengelakkan ia memerangkap bakteria yang memburukkan keadaan anda.

 

  • Minum Air Yang Cukup

Badan anda akan sentiasa terhidrat termasuklah rongga-rongga sinus dengan meminum air yang cukup. Ia juga membantu mukus anda sentiasa nipis agar dapat mengalir lancar sebelum ditelan berzama enzim-enzim yang meneutralkan kuman yang diperangkap oleh mukus anda.

 

  • Makan Makanan Berkuah Panas

Kuah atau sup panas membantu melancarkan mukus tebal anda selain menghilangkan rasa kering pada kerongkong. Sup ayam dicadangkan kerana mengandungi bahan anti radang sesuai untuk jangkitan pada sistem pernafasan atas anda.

 

  • Singkirkan Kuman Pembawa Alahan

Pastikan langkah pencegahan alahan diambil seperti guna sarung bantal dan tilam yang tidak memerangkap debu dan pastikan haiwan peliharaan anda tidak dibawa masuk ke dalam bilik tidur. Elakkan juga penggunaan karpet dan permaidani yang mudah memerangkap habuk. Anda juga harus sentiasa memakai topeng muka apabila membersihkan rumah.

 

  • Jaga Kebersihan Diri

Menjaga kebersihan diri seharusnya menjadi keutamaan dan amalan harian anda. Elakkan sentiasa menyentuh muka kerana kuman daripada tangan boleh mengalir ke rongga sinus tanpa disedari. Perkara wajib perlu anda buat adalah kerap membasuh tangan dengan kaedah yang betul.

 

  • Mandi Air Panas

Wap panas dapat melegakan tekanan pada rongga sinus anda. Pastikan pintu ditutup agar wap panas dapat disedut semasa mandi. Anda juga boleh menyedut wap panas daripada air panas yang dituangkan di dalam mangkuk bergantung kepada keselesaan masing-masing.

  • Guna Tuam

Tuam berkesan digunakan apabila tekanan pada rongga sinus menyebabkan anda sakit kepala. Anda boleh menggunakan kain yang direndam dalam air panas dan tuam di bahagian mata anda. Ia boleh mengurangkan tekanan pada rongga hidung anda.

  • Senaman Ringan

Joging atau berjalan pantas boleh anda amalkan kerana senaman ini boleh membantu membuka ruang sinus anda yang tersumbat ketika anda mengambil nafas panjang. Namun anda dinasihatkan untuk melakukannya mengikut kemampuan diri anda dan segera berhenti sekiranya ia memburukkan lagi keadaan anda.

  • Guna Nasal Spray

Jika masalah resdung anda berterusan setelah melakukan semua perkara di atas, anda boleh merujuk doktor untuk mendapatkan nasal spray. Spray ini terdiri dari pelbagai jenis seperti mengecutkan tisu hidung yang membengkak untuk mengatasi masalah hidung tersumbat. Jenis-jenis lain termasuklah anti-histamine dan kortikosteroid.

Sebagai rumusan, masalah resdung boleh dirawat dan anda perlu berusaha untuk merawat masalah resdung yang anda alami.

Anda juga harus mengelakkan sikap mengambil mudah akan sesuatu perkara seperti penjagaan kebersihan diri dan kepentingan memakai topeng muka.

Tip-tip diatas mempunyai merit tersendiri dan disarankan disamping merujuk doktor yang bertauliah.

Sekian, terima kasih.

Helmi M.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *