Ketahui Bagaimana Resdung Boleh Menjejaskan Kesihatan Mata Anda

Tidak ramai yang menyedari resdung boleh memberikan kesan kepada fungsi mata anda. Hal ini adalah satu fakta yang tidak dapat dinafikan lagi kerana secara umumnya masyarakat kita tidak langsung memandang serius akan bahaya yang boleh datang hasil daripada penyakit resdung.

Senario ini berlaku dalam masyarakat kita pada hari ini di atas pelbagai faktor sama ada kurang pendedahan tentang bahaya penyakit resdung atau tidak ingin mengambil tahu langsung mengenai kefungsian penyakit ini.

Sikap mengambil mudah akan sesuatu perkara perlu dikikis dalam diri masyarakat kerana kesannya daripadanya yang terpaksa ditanggung nanti.

Dalam kontek ini, resdung diremehkan dan tidak diletakkan sebagai perkara yang harus ditangani segera. Hasilnya, resdung kronik boleh berlaku yang boleh memberi kesan kepada mata, hidung dan rongga-rongga di bahagian muka termasuklah menjangkiti bahagian otak anda.

Sebagai contoh, rasa sakit atau tekanan dibelakang mata dianggap biasa atau disalah anggap sebagai sakit kepala yang cukup biasa. Cukup dengan mengambil pil-pil tertentu dan masalah dianggap selesai.

Bagaimana Resdung memberi kesan keatas mata.

Situasi sebegini jelas boleh dihindari jika ada pengetahuan asas tentang penyakit ini. Atau adakah anda ingin hilang nikmat penglihatan barulah mula sedar akan peri pentingnya merawat resdung ?

Untuk mengetahui bagaimana resdung boleh menjangkiti mata sedikit pengetahuan asas mengenai resdung harus diketahui terlebih dahulu.

Resdung berlaku apabila bakteria atau virus berkumpul dan memasuki rongga di bahagian muka termasuklah rongga di belakang hidung, mata dan pipi.

Bakteria ini menyebabkan sinus (rongga-rongga) untuk membengkak dan dipenuhi cecair mukus. Cecair yang bertakung ini akan mengakibatkan pembiakan bakteria.

Justeru, anda akan merasa sakit di bahagian atas muka termasuklah pada bahagian belakang mata.

Rongga-rongga pada muka adalah bersambung antara satu sama lain sebagai saluran yang mengalirkan cecair dalam rongga. Anda boleh mendapat resdung atas pelbagai faktor sama ada alahan-alahan tertentu, kebersihan diri dan imunisasi badan itu sendiri.

Bakteria ini akan bermula pada rongga hidung kerana ia adalah rongga yang menstimulasi kandungan-kandungan dalam udara ketika proses pernafasan termasuklah bakteria dan virus.

Apabila resdung tidak dirawat untuk jangka masa tertentu, bakteria akan merebak ke rongga mata kerana cecair telah memenuhi rongga pada hidung itu sendiri serta tidak boleh mengalir keluar akibat dinding rongga yang membengkak.

Bakteria yang merebak pada rongga mata akan menyebabkan jangkitan kuman pada kulit (sellulitis) dan nanah mata. Tanpa rawatan, ia boleh menyebabkan kekurangan darjah penglihatan dan juga buta kekal.

Kanak-kanak adalah lebih berisiko untuk menjadi buta kerana dinding pemisah ethmoid (tulang diantara mata dengan otak) sangat tipis di mana sinus frontal iaitu rongga di dahi dan belakang mata mereka masih belum terbentuk.

Justeru, nanah akan dikeluarkan melalui rongga mata. Pada tahap kritikal, doktor akan membuat laluan untuk cecair dari ethmoid dapat dikeluarkan dari hidung dan tidak bertakung lagi.

Merasa sakit atau tekanan pada bahagian mata bukan satu-satunya identifikasi kepada resdung kerana faktor lain seperti sakit kepala, kerosakan saraf optik, sakit gigi juga penyumbang kepada rasa sakit ini.

Jadi, cara terbaik untuk mengetahui sama ada resdung menjadi punca kesakitan tersebut adalah merujuk doktor ear, nose, and throat (ENT). Doktor ENT adalah pakar dalam merawat resdung dan masalah alahan.

Pakar saraf dan ophthalmologist (pakar mata) juga boleh dirujuk. Namun demikian, sekiranya anda telah mengalami masalah resdung dengan gejala-gejala seperti hidung tersumbat dan sebagainya, berkemungkinan besar sakit pada mata itu turut diakibatkan resdung namun pada tahap kronik.

Kesimpulannya, mindset dalam kalangan masyarakat kita harus berubah dan didedahkan tentang bahaya penyakit resdung. Rawatan segera dan berterusan sehingga penyakit itu sembuh adalah cara terbaik yang perlu diambil oleh masyarakat kita. Merujuk pakar ENT adalah disarankan untuk mengelakkan resdung anda menjadi kronik.

Helmi M.

 

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *